Logo 1 Logo 2 Logo 3

Borang Akuan Persetujuan Sebagai Responden

Kajian Pembangunan Profil Kesejahteraan Pekerja Berusia di Jabatan Bomba dan Penyelamat Di Lembah Klang, Malaysia

PENGENALAN

Kesejahteraan pekerja, terutama pekerja yang semakin berusia, adalah isu kritikal yang berpotensi mempengaruhi prestasi, keselamatan, dan keseluruhan kualiti hidup mereka. Secara umumnya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sering menghadapi pelbagai cabaran samada dari segi fizikal dan mental seiring dengan tugasan dan tanggungjawab mereka berhadapan dengan risiko keselamatan dan kecemasan semasa bekerja. Selain itu, peningkatan usia juga sedikit sebanyak turut memberi kesan secara tidak langsung dalam mereka mendepani cabaran ini. Justeru, adalah perlu untuk memahami dan menangani cabaran unik ini bagi memastikan kesejahteraan hidup pekerja berusia ini dapat dicapai dengan sebaiknya. Kajian ini bertujuan untuk menyediakan satu mekanisma penilaian komprehensif untuk mengurus pekerja berusia dengan lebih efektif dan berkesan di JBPM di Lembah Klang, Malaysia. Ia akan dibangunkan bagi membantu pihak JBPM dalam membuat penilaian yang lebih menyeluruh bagi memperkukuhkan aspek pengurusan sumber manusia, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), keupayaan kerja, dan produktiviti anggota berusia JBPM. Pelaksanaan strategi ini diharapkan akan dapat membantu dalam memastikan tenaga kerja berusia JBPM akan terus inklusif, produktif, dan mampan kepada organisasi. Kajian ini menggariskan kepentingan menyesuaikan amalan tempat kerja bagi menyokong kesejahteraan dan prestasi tenaga kerja berusia, yang akhirnya akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak samada anggota berusia dan JBPM. Kajian in dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia dengan sokongan dan kerjasama dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui pembiayaan geran kajian oleh pihak National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Malaysia.

Justeru, tujuan survei ini dilaksanakan adalah bagi mengumpulkan maklumat dan informasi dari tuan/puan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman berkaitan isu, cabaran juga pandangan berkaitan pekerjaan yang sedang dilakukan samada dalam aspek pengurusan kerja, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, produktiviti dan keupayaan kerja. Melalui input yang diperolehi ini, ia akan menjadi rujukan kepada pihak penyelidik dalam membantu mengenalpasti solusi/strategi yang bersesuaian dengan permasalahan berkaitan.

APAKAH YANG PERLU ANDA LAKUKAN?

Secara keseluruhan, keterlibatan dan kerjasama secara aktif daripada tuan/puan dalam memberikan maklumat dan pandangan yang berkaitan adalah penting untuk membantu penyelidik dan pihak JBPM dalam mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh tuan/puan di tempat kerja ke arah menambahbaik aspek pengurusan tenaga kerja berusia JBPM dalam memastikan kesejahteraan hidup mereka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih optimum. Tempoh keseluruhan kajian ini adalah selama 12 bulan. Justeru, proses pengumpulan data maklumat daripada tuan/puan adalah dalam tempoh masa tersebut. Sejumlah 400 orang warga kerja JBPM sekitar Lembah Klang akan terlibat dalam kajian ini. Segala kos yang berkaitan semasa proses pengumpulan data ini adalah di bawah tanggungan pihak kami.

SIAPA YANG TIDAK BOLEH MENYERTAI KAJIAN INI?
  1. Anggota JBPM yang berumur di bawah 45 tahun
  2. Pejabat/balai bomba JBPM yang terletak di luar Lembah Klang
  3. Pegawai bukan anggota bomba (gred C, M, N, J, F, W)
APAKAH FAEDAH MENYERTAI KAJIAN INI?
  1. KEPADA ANDA SEBAGAI PESERTA?
  2. Penglibatan tuan/puan dalam kajian ini memberi faedah/menafaat bukan sahaja kepada JBPM (dalam bentuk data dan maklumat untuk perancangan masa depan) tetapi juga kepada tuan/puan kerana maklumat yang diberikan akan dapat membantu untuk penambahbaikan dalam polisi, program, sokongan, kemudahan, dan kesejahteraan di tempat kerja. Hasil dapatan kajian ini akan dikongsikan kepada pemegang taruh termasuklah penyelidik dan agensi kerajaan berkaitan. Oleh itu, untuk mencapai manfaat ini, kami memerlukan penglibatan dan sumbangan tuan/puan dengan melengkapkan soal selidik survei kami, mengambil bahagian dalam perbincangan kumpulan atau temubual dan penilaian berkaitan dalam kajian ini.

  3. KEPADA PENYELIDIK?
  4. Penyelidik yang terlibat dalam kajian ini mendapat faedah/ menafaat manfaat dalam bentuk pengetahuan baru, kemahiran penyelidikan yang lebih baik, serta peluang untuk memberi sumbangan positif kepada pembangunan organisasi dan kesejahteraan pekerja berusia. Dengan membangunkan mekanisma penilaian fit-to-work yang praktikal untuk anggota bomba yang semakin menua, ia boleh dijadikan sebagai piawai atau garis panduan bagi penilaian kecergasan, pemakluman protokol keselamatan di tempat kerja, dan panduan untuk keputusan dasar mengenai persaraan dan penyertaan tenaga kerja. Penyelidikan ini akan membolehkan para penyelidik menyumbang secara langsung kepada peningkatan kesihatan dan keselamatan pekerja menua.

ADAKAH IA BERISIKO?

Risiko adalah minimal kerana ianya dikendalikan dengan pendekatan yang teliti dan beretika. Penyelidik akan memastikan bahawa prosedur penyelidikan dilaksanakan dengan mengutamakan kesejahteraan responden, memberikan maklumat yang jelas mengenai tujuan kajian, dan menjaga kerahsiaan serta hak privasi responden dan organisasi. Penyertaan dalam kajian ini adalah sukarela. Tuan/puan boleh menarik diri dari kajian ini pada bila-bila masa tanpa sebarang penalti atau kehilangan manfaat yang layak diterima oleh tuan/puan.

ADAKAH MAKLUMAT DAN IDENTITI SAYA KEKAL RAHSIA?

Dengan langkah-langkah perlindungan yang betul, penyelidik akan memastikan maklumat dan identiti responden kajian ini akan kekal rahsia sejajar dengan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Pematuhan kepada prinsip kerahsiaan dan etika penyelidikan yang ketat adalah amat penting untuk memastikan bahawa maklumat yang dikongsi oleh responden tidak disalahgunakan dan hanya digunakan untuk tujuan penyelidikan yang sah. Dapatan daripada kajian ini mungkin akan dibentangkan dalam penerbitan akademik dan persidangan yang berkaitan dengan bidang kajian yang relevan. Data ini akan tertumpu kepada trend keseluruhan dan tidak akan mengenal pasti mana-mana peserta individu secara khusus.

SIAPA YANG SAYA PERLU HUBUNGI SEKIRANYA SAYA MEMPUNYAI SOALAN TAMBAHAN SEMASA MENGIKUTI PENYELIDIKAN INI?

Pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), UPM hanya bertindak sebagai penyelidik sahaja di dalam kajian ini. Jika tuan/puan mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Nazim Mohtar (Ketua Penyelidik) melalui e-mel: nazim@upm.edu.my atau En. Mohd Rizal Hussain (Pegawai Penyelidik Kanan), e-mel: mrizal@upm.edu.my. Jika tuan/puan mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan dengan hak-hak sebagai peserta dalam penyelidikan ini, sila hubungi: Sekretariat, JKEUPM, melalui email: jkeupm@upm.edu.my

Persetujuan Menjadi Responden

Sila masukkan nama dan email di sini sekiranya anda telah membaca dan memahami kandungan halaman ini.

<< Kembali